Lintas Mengabarkan

Penyanyi Legenda Filipina Freddie Aguilar Meninggal Dunia

FILIPINA – Penyanyi legenda Filipina, Freddie Aguilar (72), dilaporkan meninggal dunia akibat kegagalan beberapa organ di Pusat Jantung Filipina, jam 1.30 pagi semalam.

Pelakon Vivian Velez mengesahkan berita pemergian bintang legenda itu dalam Facebook.

“Ikon Freddie Aguilar meninggal dunia hari ini (semalam) di Pusat Jantung Filipina dalam usia 72 tahun. Takziah diucapkan kepada keluarga dan orang tersayang. Muziknya akan kekal dalam hati kita selamanya,” tulisnya.

Isterinya, Jovie Gatdula Albao, ada memuat naik gambar bersama Aguilar dan menzahirkan perasaannya dalam Facebook.

“Saya akan menjalani kehidupan baik supaya dapat bertemu dengan awak di jannah. Kita milik Allah dan kepada Allah juga kita kembali.

“Ini bukan selamat tinggal, cuma perpisahan sementara. Ia adalah pertarungan baik kerana kita berjuang bersama,” katanya.

Aguilar mengahwini Albao ketika berusia 16 tahun 2013 dan ia juga mendorong penyanyi itu memeluk agama Islam.

Empat hari lalu, isterinya, Albao ada berkongsi foto cawan kopi di bilik hospital dengan kapsyen, ‘Kekal kuat, keadaan akan menjadi lebih baik. Sekarang mungkin ribut, tetapi hujan tidak boleh selama-lamanya.’

Sebelum itu, Albao berkongsi maklumat terkini mengenai keadaan Aguilar.

“Begitu banyak berlaku minggu ini, terdapat banyak detik menyedihkan, tetapi kita tidak boleh lemah begitu sahaja. Saya perlu kuat supaya boleh mengawasinya setiap jam,” katanya.

Jenazah Aguilar dilaporkan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Manila, malam tadi.

Media tempatan melaporkan, pengebumian Aguilar disahkan oleh Pejabat Hal Ehwal Muslim Bandar Muntinlupa.

Allahyarham Aguilar memeluk Islam pada 2013 dengan nama Abdul Fareed. Pengebumian Aguilar diuruskan oleh Pejabat Hal Ehwal Muslim Bandar Muntinlupa dengan solat jenazah diimamkan oleh pengarah, Johnny Guiling.

Pada 1978, Aguilar berkahwin dengan Josephine Queipo dan memiliki mempunyai empat cahaya mata, Maegan, Jonan, Isabella dan Jeriko.

Kemudiannya, Aguilar berkahwin dengan Albao dengan cara Islam di Buluan, Maguindanao pada 22 November 2013.

Aguilar terkenal dengan lagu hit berjudul Anak yang menjadi karya terlaris sepanjang zaman di Filipina dengan 33 juta salinan terjual di seluruh dunia. Ia juga satu-satunya lagu Filipina diterjemahkan kepada 51 bahasa.

Anak bukan sahaja mendahului di carta Filipina pada 1979, tetapi juga dicatatkan sebagai lagu nombor satu di Jepun dan popular di negara seperti Angola, Malaysia, Hong Kong dan sebahagian Eropah Barat.

Mengikut anggaran, lagu Anak direkam dalam 100 versi dan 23 bahasa.

Lagu popular lain termasuk Pulubi (1978), Magbago Ka (1978), Bulag Pipi at Bingi (1979), Magdalena (1983), Katarungan (1985), Ipaglalaban Ko (1989), Minamahal Kita (1993) dan Pasko ng Damdamin (1994).(red)

Tinggalkan komen

Alamat email anda tidak akan disiarkan.